MAGNET DIRI: AWAS 4 PERATURAN PERSEPSI! (AKHIR)
Sambungan dari Siri pertama
3. Peraturan Bersambungan (Law of Continuity)
Selain daripada kecenderungan otak manusia menghasilkan persepsi berdasarkan persamaan dan perkaitan, otak manusia juga mudah terpengaruh kepada maklumat yang bersambungan dengan maksud asal.
Teknik Pengajaran: Mencipta pandangan pertama yang positif kepada pelajar supaya pandangan seterusnya juga menjadi positif.
Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Jangan suka membuat tanggapan awal kepada seseorang tanpa usul periksa. Sentiasa neutral. Dapatkan maklumat secukupnya terlebih dahulu supaya tidak menjadi prejudis.
Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Sentiasa neutral dan optimis kepada diri sendiri. Jangan hanya satu kesilapan maka terus membuat kesimpulan, diri sendiri tidak berguna, lemah dan selalu gagal.
4. Peraturan Penutupan (Law of Closure)
Dalam banyak keadaan, otak juga menghasilkan persepsi berdasarkan apa yang berlaku di waktu akhir atau penghujung. Satu maksud di penghujung mempengaruhi persepsi kepada segala apa yang berlaku sebelumnya.
Teknik Pengajaran: Setiap proses pengajaran mesti mempunyai penutup yang bagus kerana ia membawa kepada persepsi keseluruhan. Walaupun proses sejak awal pengajaran dilakukan dengan baik tetapi jika ditutup dengan tidak berkesan malah berlaku kesalahan fakta, maka ia dapat menjangkiti persepsi semua proses pengajaran keseluruhan.
Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Sentiasa berusaha bagi memastikan orang gembira. Jangan akhiri pertemuan dengan cara negatif kerana ia dapat memberi persepsi tidak baik orang lain kepada diri saudara.
Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Setiap kegagalan yang dihadapi tidak bererti dunia sudah berakhir, tidak bererti persepsi saudara adalah saudara gagal selamanya. Sebenarnya, selagi saudara tidak berputus asa, kegagalan adalah langkah-langkah ataupun proses menuju kejayaan.
Dalam kehidupan ini ada perkara yang tidak mampu dikawal seperti bila, masa dan tarikh kita dilahirkan dan mati, rupa paras, bumi bergerak mengikut orbit, graviti dan sebagainya. Ia dinamakan sebagai zon luar kawal. Tetapi pada masa yang sama, terdapat juga perkara yang dapat dikawal. Antaranya adalah sikap dan persepsi. Ia termasuk dalam kategori zon boleh kawalan. Justeru, pastikan persepsi tidak menguasai diri saudara, tetapi saudara yang sentiasa berusaha mengawal persepsi.

Petikan buku terbaru Amin Idris, Magnet Diri; Cipta Pengaruh Luarbiasa & Berjaya




