MAGNET DIRI: AWAS 4 PERATURAN PERSEPSI!

self conceptPersepsi bukan sahaja tafsiran kita kepada perkara-perkara luaran, persepsi juga adalah tafsiran kita kepada diri sendiri. Di awal bahagian dalam buku Magnet Diri, saya berkongsi dengan pembaca mengenai konsep diri dan estim diri. Persepsi kepada diri sendiri juga adalah salah satu faktor yang mempengaruhi konsep diri seterusnya membentuk estim sama ada negatif atau positif. Mengikut kajian ini, persepsi adalah perkara biasa dalam kehidupan harian.

Satu lagi hasil kajian pakar psikologi, persepsi kita banyak terpengaruh oleh empat faktor atau pakar psikologi menamakannya sebagai Empat Peraturan Persepsi (4 Law of Perception).

Berita baiknya adalah persepsi dapat dikawal. Contohnya, kawalan persepsi digunakan dalam teknik pengajaran dalam bidang pendidikan. Mereka menggunakan Empat Peraturan Persepsi (4 Law of Perception) sebagai medium bagi teknik pengajaran berkesan. Bagaimanapun, cara mengawal persepsi diri dalam konteks kehidupan yang lebih luas pula adalah berwaspada daripada empat peraturan ini.

Catatan:

Teknik Pengajaran bermaksud bagaimana persepsi dikawal agar pelajar dapat memahami pelajaran yang dipelajari dengan berkesan.

Aplikasi Kehidupan Kita dengan Orang Lain bermaksud mengawal persepsi antara kita dengan orang lain.

Aplikasi Harian Diri dengan Unsur Negatif bermaksud mengawal persepsi agar tidak terperangkap dengan persepsi negatif kepada diri sendiri.

1. Peraturan Persamaan (Law of Similarity)

Otak manusia mempunyai kecenderungan menerima sesuatu yang mempunyai persamaan. Semakin banyak persamaan dalam satu-satu perkara, semakin mudah informasi itu didaftarkan dalam otak menjadi memori. Memori itu kemudian menjadi persepsi.

Teknik Pengajaran: Pelajar diajar dengan cara mengkategorikan konsep dengan mengaitkan ciri-ciri yang ada persamaan, kemudian konsep itu dikaitkan dengan kehidupan harian.

Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Jangan anggap semua manusia ini sama. Setiap orang mempunyai perbezaan dan perbezaan itu adalah unik, kekuatan dan tanda kebesaran Tuhan.
Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Sekiranya saudara menemui unsur negatif pada orang lain dan kebetulan mereka datang dari kampung yang sama dengan saudara, tidak bererti saudara juga mempunyai unsur negatif yang sama. Contohnya orang Kelantan didakwa lemah bahasa Inggeris. Jika saudara orang Kelantan, tidak bererti saudara juga tidak mampu hebat berbahasa Inggeris.

2. Peraturan Perkaitan (Law of Proximity)

Otak manusia juga mudah menerima dan mengingati maklumat yang berdekatan atau lebih tepat lagi saling berkaitan antara satu maklumat dengan maklumat yang lain.

Teknik Pengajaran: Gabungan antara dua atau lebih objek atau idea yang berkaitan antara satu sama lain agar pelajar dapat membuat perbandingan serta perkaitan bagi memahami serta mengingati maklumat itu.

Aplikasi Kehidupan Harian Kita dengan Orang Lain: Jika ada jiran yang bermasalah, jangan anggap jiran lain juga mempunyai masalah yang sama.

Aplikasi Kehidupan Harian Diri dengan Unsur Negatif: Sekiranya saudara menemui unsur negatif pada individu yang hampir, dekat atau mempunyai pertalian darah dengan dengan saudara, ini tidak bererti saudara juga mewarisi kualiti negatif yang sama.

2 Peraturan seterusnya? Bersambung ke siri kedua akan datang.

Petikan dari buku terbaru Amin Idris; Magnet Diri: Cipta Pengaruh Luarbiasa dan Berjaya

Leave a Reply