KEPUTUSAN SECARA BERPASUKAN
Ragu-ragu dalam membuat keputusan? Takut ada orang lain tidak puas hati atau marah dengan keputusan anda? Sering goyah dan berubah-ubah dalam membuat keputusan?
Panduan Asas
1. Jangan bergopoh-gapah. Tergopoh-gapah adalah satu amalan buruk yang dikeji. Anda tidak harus kelam kabut dalam mengeluarkan satu-satu keputusan. Setiap kata-kata seorang presiden tidak sama dengan seorang pelajar biasa. Oleh itu, jangan gopoh dalam memutuskan sesuatu perkara. Berfikirlah secara rasional dan tenang. Kenal pasti apakah isu sebenar sebagai fokus yang ingin diputuskan.
2. Rasional dalam berfikir. Anda mesti ketepikan segala rasa dendam, marah dan emosional di dalam fikiran dan perasaan anda. Ini adalah kerana sifat-sifat sedemikian hanya akan mendorong anda untuk membuat keputusan hanya berlandaskan nafsu dan kemarahan. Keputusan sedemikian hanyalah sebagai suatu dendam atau menyalakan api kemarahan dan memburukkan lagi keadaan.
3. Analisa dan kajian. Janganlah malas dalam membuat kajian dan analisa. Ia boleh dibuat secara pantas atau mengambil masa yang lama bergantung kepada keadaan. Jika masa yang ada adalah amat panjang, buatlah kajian dengan mendalam. Sebaliknya, jika anda kesuntukan masa, kaji dan analisa pada pro (kebaikan) dan contra (keburukan). Mana-mana yang menghasilkan kebaikan terbanyak mesti diutamakan.
4. Jangan malu bertanya. Janganlah anda rasa segan atau malu bertannya semata-mata kerana anda seorang presiden. Anda akan dihormati jika anda bersikap rendah diri dengan bertanya sekiranya anda tidak yakin atau ingin mengetahui sesuatu. Oleh itu, janganlah rasa segan untuk bertanya guru-guru, atau teman sejawatan, atau rakan-rakan karib. Mungkin mereka boleh mengemukakan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran anda.
5. Anggarkan kemungkinan kesan terburuk. Sebelum anda menghasilkan sesuatu keputusan, anda wajar untuk membuat beberapa anggaran. Selepas anda membuat kajian, analisa dan bertanya akan nasihat, buatlah anggaran sekiranya setiap satu dibuat, apakah kesan terburuk yang mungkin berlaku. Semakin sedikit keburukan kesan sesuatu itu, makin darjatnya makin baik. Begitulah setersunya.
6. Buat perbandingan untuk yang terbaik. Di kala itu, anda haruslah membuat perbandingan mana yang terbaik. Lihatlah pada kuantiti kebaikan dan keburukan, kesan jangka masa panjang dan pendek, siapa yang terlibat dan apakah reaksi orang lain khususnya pihak sekolah dan ahli persatuan anda.
7. Gunakan intuisi. Renung dalam-dalam ke dalam hati. Yang manakah yang anda rasa ‘secocok’ dan ‘serasi’? Sesuatu yang anda ‘rasakan’ sebagai satu keputusan yang baik. Mungkin faktor keimanan, agama, dan moral memainkan peranan ketika melakukan perkara ini.
8. Utamakan kepentingan umum. Ingatlah bahawa dalam apa jua tindakan anda, ketepikan kepentingan dir. Jangan sampai orang melihat anda mempergunakan persatuan untuk kepentingan peribadi dan kepuasan diri. Utamakan kepentingan umum iaitu persatuan dan sekolah anda.
9. Buat keputusan yang tepat. Buatlah keputusan yang terbaik dan paling cantik untuk dilaksanakan. Fikirkan matlamat jangka panjang dan jangka pendek yang boleh mempengaruhi hidup anda. Laksanakan setiap keputusan dengan berdisiplin dan dedikasi. Buatlah pemerhatian yang teliti terhadap setiap keputusan, agar ianya tidak hanya tinggal sebagai keputusan.
10. Cipta pelan tindakan. Keputusan sahaja tidak mempunyai makna kalau anda tidak tahu bagaimana hendak melaksanakannya. Buatlah pelan tindakan. Apa yang perlu dilakukan? Apa peralatan yang perlu? Siapa yang bertanggungjawab? Bila akan dilakukan? Bagaimana kaedahnya? Berapa lama tempohnya? Apakah standard yang diharapkan? Apakah pelan alternatif yang ada?
11. Usahakan kata sepakat. Jika anda membuat keputusan secara bersama, carilah kata sepakat dengan rakan-rakan yang lain. Kata sepakat sangat penting untuk memberikan momentum yang besar kepada sesuatu keputusan itu. Berbanding dengan keputusan majoriti, kata sepakat akan memastikan tiada ‘cakap-cakap belakang’ yang memperlekehkan keputusan tersebut. Kata sepakat juga menunjukkan bahawa keputusan itu perlu dipatuhi oleh semua warga organisasi. Dalam sistem perundangan Islam, kata sepakat, atau Ijma’ dianggap sebagai salah satu sumber perundangan Islam yang ketiga.
12. Bertekad, berusaha, dan bertawakal. Tiga syarat ini sangat penting setelah anda membuat keputusan. Membuat keputusan penting, tetapi melaksanakan keputusan juga sangatlah penting. Keputusan tanpa tindakan ibarat pohon yang tiada kegunaan. Oleh itu, lakukanlah sekarang!
Jangan lupa…
Membuat keputusan ertinya anda berhadapan antara kejayaan atau kegagalan. Tidak ada lorong tengah yang menjadi hasil dalam membuat keputusan. Sebab itu anda mesti mempunyai keberanian untuk membuat keputusan. Walaupun hasilnya gagalnya, sekurangnya anda sudah berjaya menjadi seorang yang berani. Berani untuk gagal!





December 8th, 2009 at 7:01 pm
panduan yng baik!!!
dlm urusan organisasi mgkin menjadi kenyataan..tp diperingkat krjn memerintah..hmm, malang sekali..kerap keputusan ahli mesyuarat dicantas oleh ahli politikus…