Sebelum ini saya telah berkongsi beberapa perkara utama petikan dari buku Magnet Diri yang bermula dengan ANALOGI. Antaranya;
1. Mitos; Kuasa ialah Kebebasan
2. Potensi Kuasa Pengaruh
3. Untuk berjaya, mesti bahagian dan disayangi
4. Potensi sahaja tidak mencukupi
Bab ENERGI dimulakan dengan tajuk Awas 4 Peraturan Persepsi. Bab ENERGI diteruskan dengan prinsip utama mencipta ENERGI dalam diri sebelum menjadi individu berpengaruh iaitu; Konsep Diri.
Salah satu teori yang penting aplikasinya dalam mencipta diri lebih berpengaruh adalah teori ‘konsep diri’. Konsep diri juga dikenali sebagai imej diri. Kedua-duanya memberi maksud dalam implikasi yang sama dalam hidup seseorang. Bagi membina ‘energi’ dalam diri, adalah penting untuk memahami mengenai konsep diri kerana ia banyak mempengaruhi diri kita lebih-lebih lagi dalam melakukan perubahan diri.
Kajian yang dijalankan kepada individu-individu berjaya mendapati mereka memiliki konsep yang positif, manakala individu-individu yang tidak berjaya menunjukkan sebaliknya.
Konsep Diri dan Kita
Konsep diri membolehkan seseorang menjawab pertanyaan, “Aku ini siapa?” Mungkin seseorang itu menjawab persoalan tadi dengan berkata, “Aku seorang Melayu, seorang penyanyi, seorang isteri, seorang yang panas baran, suka berjauhan dari orang lain, seorang yang mesra dan mudah didekati” dan sebagainya. Jawapan seperti ini menunjukkan seseorang itu mempunyai banyak konsep diri, sebanyak mana dia menilaikan dirinya. Konsep diri seseorang itu kuat pengaruhnya kepada cara-cara bagaimana dia memproses apa jua maklumat mengenai dirinya. Oleh sebab itu ia menentukan bagaimana seseorang itu memandang dirinya sendiri dan bagaimana dia memandang diri orang lain.
Selain mempengaruhi pemikiran, konsep diri seseorang itu mempengaruhi tingkah lakunya, baik pada masa sekarang mahupun masa akan datang. Sebagai contoh, apabila konsep diri seseorang individu itu mengatakan dia seorang yang pintar, maka dia bertingkah laku sebagai seorang yang pintar.
Konsep Diri = Imej Diri
Setiap individu mempunyai imej mengenai siapa dirinya. Imej itulah yang dikatakan sebagai konsep diri. Imej diri seseorang itu terbina daripada segala perasaan dan fikirannya kepada bakat, keupayaan, keistimewaan, kekuatan, kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya. Oleh itu, konsep diri adalah gabungan segala macam kepercayaan seseorang berkenaan dirinya termasuklah semua kepercayaan mengenai sifat-sifat semula jadi dirinya, ciri-ciri unik peribadinya dan tingkah lakunya. Konsep diri seseorang itu termasuk kepercayaan seperti, ‘saya baik hati’, ‘saya jahat’, ‘saya tidak tampan’, ‘ saya tidak pandai bahasa inggeris’, ‘saya hebat bermain badminton’, ‘ saya bakal menjadi Ahli Parlimen suatu hari nanti’ dan lain-lain kepercayaan seperti itu.
Sumber Konsep Diri
Dari manakah datangnya konsep diri? Apabila seseorang itu menganggap dirinya seorang yang istimewa, apakah dengan sedar dia membuat tanggapan sebegitu kepada dirinya? Menurut pakar psikologi, seseorang itu tidak membina konsep dirinya atas kemahuannya sendiri.
Konsep diri seseorang itu bukan hanya apa yang diciptanya. Malah individu lain turut mempengaruhi konsep diri individu itu. Ini berlaku apabila seseorang itu menerima maklum balas mengenai dirinya daripada individu-individu lain yang berada di sekelilingnya. Di sekeliling individu itu ada ramai orang, sebahagiannya adalah individu-individu yang penting dalam hidupnya, manakala kebanyakannya bukan individu-individu yang penting dalam kehidupannya. Ertinya, bukan semua orang mempunyai pengaruh besar kepada konsep diri individu itu. Ada orang yang kata-katanya mempengaruhi konsep dirinya, dan ada juga individu-individu yang kata-katanya tidak mempunyai kesan langsung kepada konsep dirinya.
Tidak dapat dinafikan, seseorang itu membina konsep dirinya sendiri, tetapi dia melakukan itu tanpa disedarinya dan dengan mengambil kira tiga sumber iaitu:
1. Pendapat orang-orang lain
2. Perbandingan dengan individu-individu lain
3. Penilaian diri
Petikan buku Magnet Diri; Cipta Pengaruh Luar Biasa & Berjaya (Top 10 Best Seller PTS 2009)