
Al-Hamdulillah, pada 22 hingga 23 Mei yang lalu, AITC mengendalikan satu kursus kecemerlangan akademik untuk kira-kira 160 siswa-siswi Fakulti Pengurusan dan Mu’amalah. Syukur pada Allah kerana hampir semua peserta mula menunjukkan rasa ingin berubah samada melalui zahir wajah dan juga dalam borang penilaian program.
Terima kasih khasnya buat Pengarah Program; Puan Suhaili, Puan Suriana dan Tuan Suhaimi atas kesungguhan menjayakan program ini dan memberi peluang kepada AITC untuk bersama para pelajar.
Program latihan & motivasi menjaminkan perubahan?
Sebagai trainer di AITC, saya tidak berani jamin peserta yang menyertai program kami akan berubah. Tetapi yang kami jamin ialah kami berusaha sedaya upaya dengan segala ikhtiar memberi kesedaran kepada peserta untuk berubah. Malah melalui program, peserta bukan sahaja diberitahu tentang ‘apa’, mereka juga dilatih untuk tahu dan memahami ‘bagaimana’ untuk berubah dan konsisten dengan perubahan.
Selebihnya ialah susulan selepas program. Maksud saya ialah bagaimana persekitaran dan cara orang di keliling bekas peserta berkomunikasi dengan mereka. Kerap juga beberapa kali di penghujung program selepas selesai semua slot saya, bila wakil penganjur (pensyarah, guru, ketua jabatan dsb) mengambil alih mikrofon, lantas mereka berkata dengan kata-kata yang jelas meleburkan estim diri dan menghemburkan konsep diri yang negatif seperti;
“Korang ni sekarang semangatlah. Nanti tak sampai 3 hari, habis lupa!!!” (Ayat ini bermakna berlaku ‘Breach of Trust. Kalau tak percaya kepada pelajar, kenapa buat program?)
“Lepas ni jangan malas lagi!!!” (Lebih baik, berkatalah “Selepas ini kita bersama mengejar kecemerlangan!”)
Malah dengan tidak berkata apa-apa walaupun lebih baik dari berkata seperti di atas, adalah lebih baik membuat kenyataan untuk mengukuhkan apa yang bekas peserta pelajari sebagai ‘re-enforcement’ dengan kata-kata positif seperti;
“Tahniah kerana menghadiri program tempoh hari. Itu adalah langkah pertama untuk menjadi individu lebih baik.”
“Saya tahu memang susah untuk berubah, tetapi jika ada impian yang jelas, ia akan mencipta rasa ghairah dan keinginan dalam diri. Ketika itu apa jua dugaan pun, anda hadapi dengan tabah.”
Kenapa perlu kata-kata positif?
Setiap individu mempunyai imej tentang siapa dirinya. Imej itulah yang dikatakan sebagai konsep diri. Imej diri seseorang itu terbina daripada segala perasaan dan fikirannya terhadap segala bakat, keupayaan, keistimewaan, kekuatan, kelemahan dan kekurangan serta kelemahan yang ada pada dirinya. Oleh itu, konsep diri ialah gabungan segala macam kepercayaan seseorang berkenaan dirinya termasuklah semua kepercayaan tentang sifat-sifat semula jadi dirinya, ciri-ciri unik peribadinya dan tingkah lakunya. Konsep diri seseorang itu termasuk kepercyaan seperti, “Aku baik hati”, “Aku jahat”, “Aku tidak tampan”, “Aku bodoh Bahasa Inggeris”, “Aku hebat main badminton”, “Aku bakal menjadi Ahli PArlimen suatu hari nanti” dan lain-lain kepercayaan seperti itu.
Sumber Konsep Diri
Dari manakah datangnya konsep diri yang dimiliki oleh seseorang itu? Apabila seseorang itu menganggap dirinya seorang yang istimewa, apakah dengan sedar dia membuat tanggapan sebegitu kepada dirinya? Menurut pakar psikologi, seseorang itu tidak membina konsep dirinya atas kemahuannya sendiri.
Konsep diri seseorang itu bukan hanya apa yang diciptanya. Malah individu lain turut mempengaruhi konsep diri individu berkenaan. Ini berlaku apabila seseorang itu menerima maklum balas tentang dirinya daripada individu-individu lain yang berada di kelilingnya. Di sekeliling individu itu ada ramai orang, sebahagiannya adalah individu-individu yang penting dalam hidupnya, manakala kebanyakannya bukan individu-individu yang penting dalam kehidupannya. Ertinya bukan semua orang mempunyai pengaruh besarnya ke atas konsep diri seseorang individu itu. Ada orang yang kata-katanya sangat mempengaruhi konsep dirinya, dan ada juga individu-individu yang kata-katanya tidak mempunyai kesan langsung ke atas konsep dirinya.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang itu membina konsep dirinya sendiri, tetapi dia melakukan itu tanpa disedarinya dan dengan mengambil kira 3 sumber iaitu;
1. Pendapat orang-orang lain
2. Perbandingan dengan individu-individu lain
3. Penilaian diri
Berkaitan program latihan dan motivasi, saya ingin jelaskan pada sumber no. 1 di atas;
Pendapat orang lain
Sumber pertama konsep diri ialah pendapat-pendapat orang mengenai dirinya, sebagaimana yang didengarinya melalui apa yang mereka ucapkan. Sebagai contoh, apabila seseorang itu sering mendengar individu-individu lain memujinya sebagai seorang yang pintar, maka akan timbul keyakinan dalam dirinya bahawa dia seorang yang pintar. Seseorang itu mengetahui apa tanggapan orang terhadap dirinya daripada cara-cara bagaimana individu-individu lain bercakap kepadanya dan daripada cara-cara mereka melayannya. Seseorang murid tahu bahawa gurunya menganggap dia murid pintar apabila gurunya memujinya sebagai murid pintar. Hadiah-hadiah dan label-label yang mengiktiraf kepintarannya juga member kesan yang serupa.
Apabila individu-individu yang penting mempunyai tanggapan positif terhadap seseorang, anggapan itu tergambar pada kata-kata dan cara-cara mereka melayan individu itu. Daripada apa yang tergambar pada kata-kata dan layanan orang kepadanya, barulah seseorang itu dapat membina konsep diri positif dan begitulah sebaliknya.
Di sekeliling seseorang individu itu terdapat ramai orang, tetapi tidak semua individu mempunyai pengaruh yang sama kuatnya ke atas konsep diri individu berkenaan. Individu-individu yang penting sebagai sumber imej diri ialah;
1. Ibu bapa
2. Adik beradik
3. Guru-guru atau pensyarah
4. Sahabat handai
5. Rakan sejawat dan
6. Pasangan hidupnya.
Pakar-pakar psikologi sudah mengenalpasti bahawa bagi kanak-kanak dan remaja, kata-kata serta layanan daripada ibu bapa, guru-guru, pensyarah dan rakan sebaya merupakan sumber utama konsep diri mereka. Oleh sebab itu ibu bapa dan guru-guru terutamanya perlu menjaga kata-kata yang mereka ucapkan kepada kanak-kanak supaya tidak mengandungi unsur-unsur penilaian negative seperti terdapat pada perkataan ‘jahat’, ‘nakal’, ‘degil’, ‘bodoh’, ‘lembap’, ‘malas’, ‘bangang’, ‘biol’, ‘mangkuk hayun’ dan banyak lagi perkataan-perkataan negative yang lain. Kata-kata negative yang ditujukan kepada kanak-kanak akan menyebabkan kanak-kanak itu membina konsep diri negative. Apabila kanak-kanak mendengar ibunya memarahinya dengan berkata, “Kenapa kamu nakal sangat?” nanti anaknya akan berkata kepada dirinya sendiri, “Aku budak nakal.”
Jika anda berperanan sebagai individu dominan sepertu sebagai seorang penyarah, guru, ketua jabatan, ibu bapa dsb, berhati-hatilah bila berkata-kata.