Archive for the ‘Motivasi’ Category

CHECK LIST SAAT AKHIR SEBELUM EXAM

Monday, August 23rd, 2010

Salam adik-adik calon UPSR, PMR, SPM dan STPM khasnya ahli Alumni AITC!

Di sini kami sediakan Check List saat akhir menjelang exam untuk kalian semua.

1. Klik pada gambar
2. Klik kanan dan
3. Save Image As…

REWIND: RAMADHAN; MODUL DARI LANGIT

Tuesday, August 10th, 2010

(1) Hari ini kita selalu dengar tentang motivasi dan kuasa menetapkan matlamat (the power of setting goal). Rupa-rupanya, bila dibaca al-Qur’an secara teliti, kita akan dapati banyak ayat berupa motivasi dan kuasa menetapkan matlamat. Antaranya bila Tuhan menceritakan tentang kewajipan berpuasa. Firman Tuhan;

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu (secara bertulis) amalan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada mereka sebelum kamu. Moga-moga kamu beroleh taqwa.

Motivasi: Lebih 1400 tahun dulu, Tuhan dah menyampaikan mesej pada manusia tentang sifat ‘boleh’ dalam diri manusia. Bila Tuhan wajibkan kita berpuasa, Tuhan juga kata kewajipan berpuasa itu pernah diwajibkan dan dilalui oleh mereka sebelum generasi kita.

Ertinya, kalau mereka boleh, kenapa kita tak boleh?

Kuasa matlamat: Dalam ibadah puasa, Tuhan telah menetapkan matlamat untuk Ramadhan secara spesific, measurable (taqwa), action oriented (puasa, tadarus, sedekah, terawih dsb), relevan (manusia mampu) dan time frame (sebulan di bulan Ramadhan).

Caranya ialah Tuhan menegaskan bahawa matlamat puasa ialah agar kita memiliki sifat TAQWA.

Taqwa ertinya TAKUT?
Mungkin betul tapi tidak tepat. Makna taqwa ialah, “Menjunjung segala perintah Tuhan, dan menjauhi segala larangan Tuhan.” Jelas bukan?

Oleh itu, jom kita tetapkan matlamat agar sebulan puasa Ramadhan tahun ini kita usaha sedaya upaya agar memiliki sifat TAQWA = Menjunjung segala perintah Tuhan, dan menjauhi segala larangan Tuhan.

(2) Antara modul Tuhan kepada umat Islam dalam bulan Ramadhan ialah ‘Sunnah mengkhatamkan al-Qur’an pada bulan Ramadhan’.

Hehe… rupanya mengkhatam al-Qur’an di bulan Ramadhan ialah amalan Nabi Muhammad SAW. Nabi mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak 2 kali bersama Malaikat Jibril pada bulan Ramadhan di tahun baginda wafat. Justeru menjadi sunnah untuk diikuti dan ganjarannya adalah luarbiasa.

Ulama’ hebat zaman dulu juga menjadikan amalan khatam al-Qur’an sebagai aktiviti wajib bagi mereka. Contohnya;

  • Menurut Ibrahim an-Nakha’ie: al-Aswad mengkhatam al-Qur’an 2 malam sekali pada bulan Ramadhan.
  • Qatadah khatam al-Qur’an 3 kali. Bila tiba 10 hari akhir Ramadhan, beliau khatam al-Qur’an tiap-tiap malam!
  • Mujahid khatam al-Qur’an tiap-tiap malam pada bulan Ramadhan
  • Malah menurut Mujahid, Ali bin Azdiy juga pada setiap malam pada bulan Ramadhan
  • Menurut ar-Rabi’ bin Sulaiman, Imam Syafie khatam al-Qur’an sebanyak 60 kali di bulan Ramadhan!!! Pergh!!!

Ganjarannya disebut oleh Nabi kita dalam hadis yang diriwayat oleh at-Tirmizi, al-Darimi dan selainnya dalam sabda baginda;

“Sesiapa yang membaca 1 huruf dari al-Qur’an, baginya satu kebaikan (pahala). Satu kebaikan itu = 10 kali ganda. Aku tidak pernah kata bahawa Alif Lam Mim itu 1 huruf. Tapi Alif itu 1 huruf, Lam itu 1 huruf dan Mim itu satu huruf.”

Anda bayangkan… bila kita baca al-Qur’an di bulan Ramadhan, setiap kali kita baca al-Qur’an kita akan dapat 10 pahala dari setiap huruf yang kita baca. Bukankah itu satu pelaburan yang menguntungkan kita!!!

Selamat berpuasa!

Artikel MESTI BACA tentang Ramadhan:

  1. Berita Gembira untuk yang Berpuasa
  2. Selamat Datang ke Universiti Ramadhan

PROGRAM MOTIVASI DAN KONSEP DIRI

Tuesday, May 25th, 2010

Al-Hamdulillah, pada 22 hingga 23 Mei yang lalu, AITC mengendalikan satu kursus kecemerlangan akademik untuk kira-kira 160 siswa-siswi Fakulti Pengurusan dan Mu’amalah. Syukur pada Allah kerana hampir semua peserta mula menunjukkan rasa ingin berubah samada melalui zahir wajah dan juga dalam borang penilaian program.

Terima kasih khasnya buat Pengarah Program; Puan Suhaili, Puan Suriana dan Tuan Suhaimi atas kesungguhan menjayakan program ini dan memberi peluang kepada AITC untuk bersama para pelajar.

Program latihan & motivasi menjaminkan perubahan?

Sebagai trainer di AITC, saya tidak berani jamin peserta yang menyertai program kami akan berubah. Tetapi yang kami jamin ialah kami berusaha sedaya upaya dengan segala ikhtiar memberi kesedaran kepada peserta untuk berubah. Malah melalui program, peserta bukan sahaja diberitahu tentang ‘apa’, mereka juga dilatih untuk tahu dan memahami ‘bagaimana’ untuk berubah dan konsisten dengan perubahan.

Selebihnya ialah susulan selepas program. Maksud saya ialah bagaimana persekitaran dan cara orang di keliling bekas peserta berkomunikasi dengan mereka. Kerap juga beberapa kali di penghujung program selepas selesai semua slot saya, bila wakil penganjur (pensyarah, guru, ketua jabatan dsb) mengambil alih mikrofon, lantas mereka berkata dengan kata-kata yang jelas meleburkan estim diri dan menghemburkan konsep diri yang negatif seperti;

“Korang ni sekarang semangatlah. Nanti tak sampai 3 hari, habis lupa!!!” (Ayat ini bermakna berlaku ‘Breach of Trust. Kalau tak percaya kepada pelajar, kenapa buat program?)

“Lepas ni jangan malas lagi!!!” (Lebih baik, berkatalah “Selepas ini kita bersama mengejar kecemerlangan!”)

Malah dengan tidak berkata apa-apa walaupun lebih baik dari berkata seperti di atas, adalah lebih baik membuat kenyataan untuk mengukuhkan apa yang bekas peserta pelajari sebagai ‘re-enforcement’ dengan kata-kata positif seperti;

“Tahniah kerana menghadiri program tempoh hari. Itu adalah langkah pertama untuk menjadi individu lebih baik.”

“Saya tahu memang susah untuk berubah, tetapi jika ada impian yang jelas, ia akan mencipta rasa ghairah dan keinginan dalam diri. Ketika itu apa jua dugaan pun, anda hadapi dengan tabah.”

Kenapa perlu kata-kata positif?

Setiap individu mempunyai imej tentang siapa dirinya. Imej itulah yang dikatakan sebagai konsep diri. Imej diri seseorang itu terbina daripada segala perasaan dan fikirannya terhadap segala bakat, keupayaan, keistimewaan, kekuatan, kelemahan dan kekurangan serta kelemahan yang ada pada dirinya. Oleh itu, konsep diri ialah gabungan segala macam kepercayaan seseorang berkenaan dirinya termasuklah semua kepercayaan tentang sifat-sifat semula jadi dirinya, ciri-ciri unik peribadinya dan tingkah lakunya. Konsep diri seseorang itu termasuk kepercyaan seperti, “Aku baik hati”, “Aku jahat”, “Aku tidak tampan”, “Aku bodoh Bahasa Inggeris”, “Aku hebat main badminton”, “Aku bakal menjadi Ahli PArlimen suatu hari nanti” dan lain-lain kepercayaan seperti itu.

Sumber Konsep Diri

Dari manakah datangnya konsep diri yang dimiliki oleh seseorang itu? Apabila seseorang itu menganggap dirinya seorang yang istimewa, apakah dengan sedar dia membuat tanggapan sebegitu kepada dirinya? Menurut pakar psikologi, seseorang itu tidak membina konsep dirinya atas kemahuannya sendiri.

Konsep diri seseorang itu bukan hanya apa yang diciptanya. Malah individu lain turut mempengaruhi konsep diri individu berkenaan. Ini berlaku apabila seseorang itu menerima maklum balas tentang dirinya daripada individu-individu lain yang berada di kelilingnya. Di sekeliling individu itu ada ramai orang, sebahagiannya adalah individu-individu yang penting dalam hidupnya, manakala kebanyakannya bukan individu-individu yang penting dalam kehidupannya. Ertinya bukan semua orang mempunyai pengaruh besarnya ke atas konsep diri seseorang individu itu. Ada orang yang kata-katanya sangat mempengaruhi konsep dirinya, dan ada juga individu-individu yang kata-katanya tidak mempunyai kesan langsung ke atas konsep dirinya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang itu membina konsep dirinya sendiri, tetapi dia melakukan itu tanpa disedarinya dan dengan mengambil kira 3 sumber iaitu;

1. Pendapat orang-orang lain
2. Perbandingan dengan individu-individu lain
3. Penilaian diri

Berkaitan program latihan dan motivasi, saya ingin jelaskan pada sumber no. 1 di atas;

Pendapat orang lain

Sumber pertama konsep diri ialah pendapat-pendapat orang mengenai dirinya, sebagaimana yang didengarinya melalui apa yang mereka ucapkan. Sebagai contoh, apabila seseorang itu sering mendengar individu-individu lain memujinya sebagai seorang yang pintar, maka akan timbul keyakinan dalam dirinya bahawa dia seorang yang pintar. Seseorang itu mengetahui apa tanggapan orang terhadap dirinya daripada cara-cara bagaimana individu-individu lain bercakap kepadanya dan daripada cara-cara mereka melayannya. Seseorang murid tahu bahawa gurunya menganggap dia murid pintar apabila gurunya memujinya sebagai murid pintar. Hadiah-hadiah dan label-label yang mengiktiraf kepintarannya juga member kesan yang serupa.

Apabila individu-individu yang penting mempunyai tanggapan positif terhadap seseorang, anggapan itu tergambar pada kata-kata dan cara-cara mereka melayan individu itu. Daripada apa yang tergambar pada kata-kata dan layanan orang kepadanya, barulah seseorang itu dapat membina konsep diri positif dan begitulah sebaliknya.

Di sekeliling seseorang individu itu terdapat ramai orang, tetapi tidak semua individu mempunyai pengaruh yang sama kuatnya ke atas konsep diri individu berkenaan. Individu-individu yang penting sebagai sumber imej diri ialah;

1. Ibu bapa
2. Adik beradik
3. Guru-guru atau pensyarah
4. Sahabat handai
5. Rakan sejawat dan
6. Pasangan hidupnya.

Pakar-pakar psikologi sudah mengenalpasti bahawa bagi kanak-kanak dan remaja, kata-kata serta layanan daripada ibu bapa, guru-guru, pensyarah dan rakan sebaya merupakan sumber utama konsep diri mereka. Oleh sebab itu ibu bapa dan guru-guru terutamanya perlu menjaga kata-kata yang mereka ucapkan kepada kanak-kanak supaya tidak mengandungi unsur-unsur penilaian negative seperti terdapat pada perkataan ‘jahat’, ‘nakal’, ‘degil’, ‘bodoh’, ‘lembap’, ‘malas’, ‘bangang’, ‘biol’, ‘mangkuk hayun’ dan banyak lagi perkataan-perkataan negative yang lain. Kata-kata negative yang ditujukan kepada kanak-kanak akan menyebabkan kanak-kanak itu membina konsep diri negative. Apabila kanak-kanak mendengar ibunya memarahinya dengan berkata, “Kenapa kamu nakal sangat?” nanti anaknya akan berkata kepada dirinya sendiri, “Aku budak nakal.”

Jika anda berperanan sebagai individu dominan sepertu sebagai seorang penyarah, guru, ketua jabatan, ibu bapa dsb, berhati-hatilah bila berkata-kata.

KAGUM DENGAN PELAJAR ISLAM DI SMK ST. JOHN

Wednesday, April 21st, 2010

Semalam (20 April 2010) adalah buat pertama kali saya menjejakkan kaki ke SMK Saint John untuk memenuhi undang ceramah sempena Minggu Pendidikan Islam. Ulang suara, ‘Minggu Pendidikan Islam’. Jumlah pelajar di sekolah ini kira-kira 1200 orang dan hanya 1/3 daripada jumlah tersebut merupakan pelajar Muslim merangkumi semua tingkatan.

Perkara pertama yang saya kagumi ialah betapa pihak sekolah yang dipimpin oleh Pengetua beragama Krtistian memberi kebebasan mengadakan program Pendidikan Islam. Malah, bajet untuk program cukup mudah termasuk untuk penceramah. Hehe

Bukan itu yang ingin saya fokus sebenarnya tetapi terkadang terasa sedikit tersinggung kerana di sekolah yang dipimpin oleh Pengetua / Guru Besar Muslim sekalipun, mereka cukup skeptikal dan ‘tangkai jering’ untuk meluluskaan bajet bagi program bersifat pembangunan insan. Pelbagai alasan diberikan untuk ‘tidak meluluskan’ program khususnya alasan ‘tidak ada bajet’. Sampai bila hendak ‘bermentaliti mangsa’ dan mengikut jejak langkah ‘Bangau oh Bangau’?

Saya cuba bersangka baik dengan memikirkan mungkin terlalu banyak program dan projek lain yang memerlukan bajet, akhirnya program pembangunan pelajar terpaksa diletakkan prioriti yang tidak utama.

P.S: Terharu dengan amalan pelajar-pelajar yang semuanya lelaki membaca doa sebelum majlis dan doa penutup bila tamat majlis. Good job boys! Keep it up!

SEKITAR BICARA SELEBRITI DI KB MALL

Sunday, February 14th, 2010

Semalam 14 Februari saya berada di Kota Bharu untuk memenuhi jemputan sebagai moderator Forum Bicara Selebriti anjuran Kerajaan Negeri Kelantan sempenan sambuta Hari Hiburan Islam Kelantan. Panelis yang dijemput semuanya hebat-hebat belaka.


Wardina Safiya; individu yang menjadi pioneer kepada artis memakai tudung. Sejak beliau memakai tudung, pemakaian tudung bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan artis. Malah, cabaran ketika mula-mula memakai tudung, beliau dipinggirkan dari rancangan Spanarjaya. Tetapi selepas itu, beliau diambil sebagai model shampoo. Buat pertama kali dalam sejarah DUNIA, produk shampoo menggunakan model bertudung. NAtijahnya, jualan shampoo tersebut MELETUP!!!

Kata-kata Magnetik dari Wardina: “Orang yang kukuh pendirian memakai tudung ialah mereka yang tahu kenapa mereka pakai tudung. Meraka tahu ayat mana di dalam al-Qur’an yang memerintahkan wanita Muslim memakai tudung. Bukan hanya kerana trend semata-mata.”


Farah Adeeba: antara selebriti yang popular bukan kerana berpakaian seksi tetapi kerana imej bertudung dan dianggap sebagai ‘celebrity with brain’ kerana pada masa yang sama seorang peguam. Beliau memiliki firma guaman sendiri.

Kata-kata Magnetik dari Farah Adeeba: “Pelajarilah ilmu khususnya Bahasa Inggeris agar mesej dakwah bukan hanya sampai kepada mereka yang sudah sedar, tetapi kepada mereka yang bebar-benar dahagakan mesej Islam.

Habiburrahman el-Shirazy: Seorang tokoh novelis Islamik. Antara novelnya yang meletup ialah Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Kedua-dua novel ini ‘difilemkan’ dan mencapai tahap ‘blockbuster’! Di Indonesia, lebih 5.8 juta rakyat Indonesia menonton filem Ketika Cinta Bertasbih! Siapa kata filem Islamik tidak boleh popular? Habiburrahman berjaya menampilkan hiburan alternatif yang bisa membangun dan mendidik jiwa.

Kata-kata Magnetik dari Ust. Habiburrahman:Buat pertama kali dalam sejarah perfileman dunia apabila diadakan audisi (audition), syarat nombor 1 untuk sesiapa yang berminat ialah ‘mesti mahir membaca al-Qur’an!”

Terima kasih buat kerajaan Negeri Kelantan khasnya buat Tuan Saifudian dan tuan Riduan kerana layanan 1st class sepanjang saya di Kota Bharu. Terima kasih Ust. Habiburrahman atas pemberian 2 novel tulisannya, tahniah buat Kak Wardina dan Kak Farah kerana menginspirasikan rakyat Kelantan.

SYUKUR…

Monday, January 25th, 2010

Semasa di semester akhir sebagai mahasiswa undang-undang di sebuah IPTA tempatan, antara keputusan yang sedikit sukar untuk dibuat ialah samada menjadi peguam atau terlibat sepenuh masa dalam bisnes industri latihan dan motivasi. Setelah lama berfikir, membuat pertimbangan dan ‘diracuni’ pula oleh beberapa individu senior, akhirnya saya nekad untuk tidak bekerja sebagai peguam atau mana-mana bidang yang ada kaitan dengan perundang-undangan!

Ayah saya yang berkawan rapat dengan Peguam Negara (class mate & house mate semasa di UM dulu) telah menjamin tempat untuk saya bekerja di Jabatan Peguam Negara, tetapi tanpa berfikir panjang… saya menolak. Kepercayaan saya ialah hidup kita bukannya ditentukan oleh sekeping kertas yang bernama ijazah. Saya tetap menghormati ijazah saya (LL.B) kerana itu merupakan satu pencapaian pada memperoleh pengiktirafan sosial dan masyarakat.

Memang tersangat mencabar samada apabila menceburkan diri dalam bisnes dan terlibat dalam industri latihan dan motivasi. Pesaingnya hebat-hebat belaka umpama gergasi-gergasi yang terkadang tidak sedar terpijak mereka yang kerdil seperti saya. Tetapi cabaran adalah peluang dan jika peluang diabaikan, ia mungkin tidak akan datang lagi.

2010 menandakan sudah masuk tahun ke-4 saya di dalam industri latihan dan motivasi. Di awal pembabitan, terasa sedikit penyesalan dan dengki pada rakan-rakan dalam ‘legal profession’ yang baru bekerja tidak sampai setahun tetapi sudah memiliki kereta baru, telefon bimbit bergaya, membeli belah dengan kredit kad dsb. Tidak kurang juga yang memerli saya dengan berkata:

I told you!!!

Tetapi kini perasaan itu langsung sudah tidak wujud lagi walau sebesar zarah. Ini tidak bermakna saya hidup mewah. Tetapi saya gembira. Gembira dan seronok dengan kerja saya. Lebih-lebih lagi bila ramai yang berjaya hasil dari ‘kerja’ saya.

Tahun lepas iaitu pada tahun 2009 saya mengendalikan program motivasi dan teknik belajar di Maktab Kerjasama Malaysia. Kenangan bersama mereka memang sukar dilupakan.

Hari ini semasa saya mengemaskini power point untuk program training, sudut chat akaun Facebook saya menerima mesej daripada salah seorang peserta di Maktab Kerjasama Malaysia tahun lepas. Namanya Muammar. Selepas berborang panjang, yang paling membuat saya terharu ialah dialog;

Amin Idris: Macamana studi?

Muammar: Saya dah nak habis. tak lama lagi tamat belajar.

Amin Idris: Wah… bagus!

Muammar:
Semester lepas pointer saya naik lagi! Saya amalkan apa yang En. Amin ajarkan dulu.

Amin Idris:
Syukur… al-Hamdulillah. Tahniah Muammar!

Muammar: Datanglah lagi ke MKM!

Bagaimana dengan anda? Seronokkah anda dengan kerja anda? Anda sentiasa mempunyai pilihan!

TAHUN BARU: TAHU DI MANA UNTUK KE MANA

Thursday, December 17th, 2009

F:\Others\Blog\Training session 3.jpg

Bila tersesat di pasaraya, kita akan mencari peta lokasi. Untuk tahu hendak ke mana, kita perlu lebih dahulu tahu kita di mana untuk tahu hendak ke mana supaya dapat sampai ke destinasi yang iingin dituju.

Tatkala kita sudah memasuki tahun baru Hijrah dan dalam masa 13 hari = 3121 jam = 8720 minit =  1,123,200 saat untuk kita tunaikan matlamat 2009. Dalam tempoh itu juga, kita perlu bersedia untuk menghadapi tahun 2010. Ya benar… untuk bersedia maka kita mesti membuat post-moterm atau muhasabah bukan untuk mendedahkan kelemahan diri tapi untuk beberapa sebab iaitu;

  1. Mengenal pasti kesilapan dan kelemahan
  2. Mengenal pasti cara mengatasinya agar jadi lebih baik
  3. Tingkatkan prestasi baik yang telah dilakukan

Berikut adalah template post-moterm yang mungkin boleh membantu men’sistematik’kan post-moterm 2009 anda.

1. Matlamat / Azam 2009

  • ……………………………………………….

(Jika kita lupa atau teragak-agak untuk mencatat matlamat atau azam tahun ini, ertinya selama ini kita tidak fokus pada matlamat. Dan kemungkinan besar itulah punca utama matlamat 2009 gagal dicapai!)

2. Perancangan 2009

  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….

(Jika sudah ada matlamat tetapi kita tidak ada langsung perancangan, maka kita telah merancang untuk gagal mencapai matlamat 2009. If you fail to plan, you plan to fail)

3. Perancangan dilaksana

  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….

(Jika sudah ada perancangan, perlu juga kita menganalisa sejauhmana atau setakatmana perancangan itu terlaksana. Jika terdapat 10 perancangan, adakah 4 daripada 10 yang terlaksana? Atau 6 daripada 10? Atau 2 daripada 10? Jika kurang dari 5/10 atau kurang dari 50%, anda mesti benar-benar serius dalam merancang dan melaksana pada tahun 2010)

4. Perancangan tertangguh

  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….

(Setelah mengenalpasti perancangan yang terlaksana, senaraikan pula perancangan yang tertangguh kerana mungkin anda masih ada masa untuk melaksanakannya sebelum 2010 atau untuk 2010)

5. Sebab tertangguh dan idea mengatasinya

  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….
  • ……………………………………………….

(Jika ada perancangan yang tertangguh, kenal pasti mengapa? Kemudian disusuli sekurang-kurangnya 1 idea praktikel untuk mengatasinya)

Borang ini akan menjadi hasil post moterm yang sistematik dan akan banyak membantu bila merangka perancangan untuk 2010.  Selamat menganalisa, merancang dan menang!

TIP SPM/STPM: 4 PERATURAN APA NAK BUAT SEMENTARA MENUNGGU KERTAS SUBJEK SETERUSNYA

Wednesday, November 25th, 2009

SPM STPM 2009

‘EIDUL FITRI; KENAPA PERLU SALING MINTA MAAF

Saturday, September 26th, 2009

Selamat Hari Raya semua!

Antara amalan yang dituntut semasa menyambut ‘Eidul Fitri ialah saling bermaaf-maafan. Kenapa?

1. Mahatma Ghandi dalam salah satu kata-kata hikmah beliau ialah,

Orang berani yang sejati ialah mereka yang sedia meminta maaf dan memaafkan orang lain.

2. Perdana Menteri Pertama India, Nehru pernah ditanya oleh penguasa British;

Apakah kamu tidak berdendam kepada British setelah apa yang mereka lakukan kepada anda sepanjang dijajah suatu ketika dahulu?

Jawab Nehru;

Sepanjang kami berjuang bersama Ghandi, 2 perkara utama yang kami pelajari dari beliau iaitu pertama; Jangan takut pada orang dan kedua; Jangan benci pada orang

3. Nabi Muhammad SAW sebelum hijrah baginda ke Madinah, baginda berhijrah ke Ta’if. Di sana Nabi disambut dengan maki hamun, cercaan dan segala amukan fizikal yang akhirnya menyebabkan nabi cedera teruk.

Apabila datang Malaikat menawarkan balasan ke atas para penduduk Ta’if, nabi berkata,

Jangan… mungkin mereka melakukan begitu kerana mereka tidak tahu…

Nabi memaafkan malah nabi tidak berdendam.

4. Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, nabi telah mengepung Kota Mekah menyebabkan kaum Quraisy yang suatu ketika dahulu pernah menganiayai nabi tidak mampu berbuat apa-apa termasuklah Abu Sufian.

Nabi memaafkan semua orang. Malah nabi mengutuskan sahabat untuk menghantar hadiah serban kepada Abu Sufian sebagai tanda persahabatan dan kemaafan.

5. ‘Eidul Fitri ertinya kita menyambut kembalinya manusia kepada FITRAH. FITRAH ertinya bersih, tiada siapa yang kalah. Semua 0-0. Justeru, marilah kita menyambut Hari Raya dengan saling bermaaf-maafan. Mudah-mudahan kita kembali kepada FITRAH.

Maafkan saya jika selama wujud blog ini ada yang terasa dengan tulisan saya dsb. Selamat Hari Raya ‘Eidul Fitri khasnya buat pelayar setia www.AminIdris.com!

SIKAP (2); PERSONALITI & PERSKITARAN

Wednesday, July 22nd, 2009

Sambungan dari Episod 1;

PERTAMA: Personaliti iaitu menerangkan ‘siapa kita’

Semua orang berbeza. Setiap orang dilahirkan dengan keunikan tersendiri. Kita semua berbeza sepertimana berbezanya cap jari kita. Begitu juga adik beradik yang dilahirkan dari ibu bapa yang sama dan dibesarkan dalam rumah yang sama, mereka tetap berbeza. Malah adik beradik kembar; walaupun mereka sama dari segi genetic, namun personality mereka tetap berbeza.

Sebagaimana personality yang kita miliki, begitulah impak pada sikap kita. Saya tidak bermaksud kita terperangkap dengan personality kita, kerana itu tidak mungkin berlaku. Apa yang pasti, sikap kita terhasil dari impak yang dicetus oleh personality.

KEDUA: Persekitaran iaitu menerangkan ‘apakah di sekeliling kita’

Persekitaran yang kita seringkali tertdedah semasa membesar sehingga kita sekarang mempunyai impak yang sangat berpengaruh kepada sikap kita. Mungkin ada di kalangan anda pernah berhadapan ibu bapa yang bercerai? Sudah pasti ia membentuuk sikap anda yang berbeza dengan orang yang dibesarkan oleh ibu bapa yang kekal bersama.

Pernahkah anda kehilangan orang yang paling anda sayangi? Ia pasti membentuk sikap anda berbeza dengan orang yang tidak pernah menghadapinya. Anda dibesarkan di kampong pedalam yang minskin dan susah? Saya percaya sikap anda jauh berbeza dari mereka yang hidup mewah dan kaya raya!

Kita tidak dapat menjangkakan apakah jenis sikap yang akan terbentuk hasil dari pengalaman atau persekitaran yang dilalui seseorang. Tapi apa yang pasti ia pasti member impak pada sikap seseorang tersebut.

Bersambung…